SEJARAH
Semasa pembukaannya pada tahun 1978,
sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Parit Haji Hassan (Sekolah
Menengah Tun Ismail II) kerana ia dijadikan cawangan Sekolah Menengah Tun
Ismail, Parit Raja. Dengan itu pentadbirannya diletakkan dibawah kelolaan
Pengetua Sekolah Menengah Tun Ismail iaitu En. Rashid bin Haji Ramlan. Encik
Salihon bin Simin, salah seorang guru Sekolah Menengah Tun Ismail telah
dilantik menjadi penyelia sekolah ini sehingga seorang pengetua dilantik.
Nama Sekolah Menengah Rendah Parit Haji
Hassan diambil sempena nama kampung yang terletak berhadapan dengan sekolah ini
iaitu Kampung Parit Haji Hassan. Tokoh yang telah membuka kampong ini ialah
Tuan Haji Hassan bin Haji Saad atau yang juga dikenali dengan nama Tuan Haji
Hassan bin Basri.
Sekolah ini memulakan sesi persekolahan
pada 4 Januari 1978 dengan 284 pelajar dan 16 orang tenaga pengajar. Sebanyak
enam kelas tingkatan satu dan satu kelas peralihan telah dibuka. Pada tahun
penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai dua blok bangunan sahaja yang
mengandungi bengkel seni perusahaan, makmal, bilik jahitan, bilik masakan,
bilik darjah dan kantin. Mata pelajaran asas dan praktikal termasuk Sains
Pertanian, Sains Rumah Tangga dan Seni Perusahaan.
Sekolah-sekolah penyumbang pelajar
kepada sekolah ini ialah:
1. Sekolah
Kebangsaan Seri Bengkal
2. Sekolah
Kebangsaan Seri Gading
3. Sekolah
Kebangsaan Tanjung Semberong
4. Sekolah
Kebangsaan Seri Mendapat
5. Sekolah
Kebangsaan Seri Nasib Baik
6. Sekolah
Kebangsaan Seri Aman
7. Sekolah
Kebangsaan Pintas Raya
8. Sekolah
Kebangsaan Pntas Puding
9. Sekolah
Kebangsaan Seri Pandan
10. Sekolah
Kebangsaan Jelutong
11. Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan (C) Sri Gading
12. Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Sri Gading
Sekolah Menengah Rendah Parit Haji Hassan
telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Mohd. Suhaimi bin Datuk Haji Kamaruddin
D.P.M.S. A.M.N. , Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada hari Selasa 22
Sepetember 1981.
Pada tahun 1984 tiga blok bangunan tambahan telah dibina bagi menampung
bilangan pelajar yang semakin bertambah. Blok-blok tersebut mengandungi bilik
darjah, makmal, bilik jahitan, bilik pengurusan diri, bilik sakit dan
perpustakaan.
Sesi 1991/1992 Sekolah Menengah Parit Haji Hassan telah menempa sejarah
kerana bermulanya tingkatan empat sebanyak dua kelas. Tingkatan empat aliran
Sastera telah dibuka dengan jumlah pelajar seramai 81 orang. Pada sesi
1992/1993, dua kelas tingkatan lima dengan 73 orang pelajar menduduki Peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat pertama kalinya. Sekolah ini sekali lagi
menempa sejarah apabila sesi persekolahan tahun 2000, satu kelas Tingkatan
Empat Sains telah dimulakan. Seramai 23 orang pelajar telah menjadi perintis.
Pada akhir tahun 1999, asrama sekolah telah siap dibina mengandungi dua
blok bangunan tiga tingkat (asrama putera dan puteri), satu blok dewan makan
dan sebuah surau. Tujuannya ialah untuk menempatkan pelajar-pelajar Rancangan
Khas dari kawasan berhampiran. Program ini telah dimulakan pada sesi
persekolahan pada tahun 2000 dengan membuka dua kelas Rancangan Khas dan
melibatkan lebih kurang 100 orang pelajar.
Bermula pada bulan Februari 2001 nama
sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading di atas
persetujuan di antara pihak pengurusan atau pengelola sekolah dengan Persatuan
Ibubapa dan Guru (PIBG).
Nama SMK Sri Gading dipilih kerana:
1. Sekolah
ini terletak dalam kawasan Mukim 8 iaitu Mukim Sri Gading.
2. Sekolah
ini berhampiran dengan pekan Sri Gading yang sedang membangunan.
3. Sekolah
ini berhampiran dengan kawasan Perumahan Sri Gading.
4. Sekolah
ini berhampiran dengan Kawasan Perindustrian Sri Gading.
5. Gading
merupakan benda yang bernilai tinggi. Contohnya: Gading gajah dan menara
gading.
6. Satu
Bandar Satelit Sri Gading akan dibangunkan di kawasan yang berdekatan.
7. Sekolah
ini terletak dalam kawasan Parlimen Sri Gading.
8. Parit
Haji Hassan merupakan kawasan perkampungan kecil yang tidak kelihatan maju yang
boleh memberi imej negatif kepada sekolah.
Pada tahun 2001 Yayasan Sultan Iskandar
telah memberi cahaya baru dalam dunia pendidikan kerana telah dapat melancarkan
proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini. Yayasan Sultan Iskandar
telah menyumbangkan sebuah makmal yang dilengkapi dengan 20 buah komputer agar
dapat melahirkan pelajar-pelajar yang celik IT. Majlis perasmian makmal
komputer Yayasan Sultan Iskandar SMK Sri Gading telah dilaksanakan oleh DYMM
Tuanku Ibrahim Ismail Ibn Sultan Iskandar al-Haj. Tunku Mahkota Johor pada hari
Selasa 17 April 2001.
Pada tahun 2002 sekolah ini telah
memulakan Program Tunas Cemerlang Bola Sepak terdiri daripada 23 orang pelajar
tingkatan satu. Majlis Pelancaran dan Penyerahan Peralatan telah diadakan pada
hari Rabu 11 Mac 2002 oleh Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Senan
bin Ibrahim. Satu kelas Rancangan Khas Sains juga telah dimulakan pada tahun
tersebut.
Prasarana SMK Sri Gading telah
diperlengkapkan lagi dengan pembinaan makmal komputer. Makmal komputer ini
telah dilengkapi dengan 42 buah komputer dan sebuah bilik server serta
kemudahan internet.
Sejarah bangunan baru bermula di satu
kawasan hutan belukar. Pada sekitar bulan Januari 2002 dua blok bangunan tiga
tingkat telah mula dibina. Bangunan ini telah siap pembinaanya pada akhir tahun
2002. Bangunan ini telah dilengkapi dengan makmal Biologi, Kimia dan Fizik.
Juga 10 buah bilik darjah, perpustakaan, bilik guru, bilik mesyuarat, bengkel
Kemahiran Hidup, bilik SPBT, bilik Muzik, tandas dan stor. Bangunan ini telah
mula digunakan oleh pelajar pada bulan April 2003.